KUALA LUMPUR, 9 Mac 2026 – Susulan penguatkuasaan Akta Kredit Pengguna 2025 pada 1 Mac 2026, Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) hari ini mengumumkan barisan kepimpinan pertamanya, diketuai oleh Pengerusi Eksekutif, Encik Abu Hassan Alshari Yahaya, bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah.
Pelantikan selama tiga tahun yang dibuat oleh Menteri Kewangan ini
menandakan permulaan rasmi operasi SKP sebagai badan pengawal selia yang
bertanggungjawab menyelia penyedia kredit pengguna di Malaysia, dengan matlamat
memastikan amalan pemberian kredit dilaksanakan secara telus, adil dan
bertanggungjawab, selaras dengan mandat di bawah Akta Kredit Pengguna 2025.
Encik Abu Hassan merupakan
bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang telah mengetuai Pasukan
Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna, ditubuhkan pada Julai 2021 bagi
merangka Rang Undang-Undang Kredit Pengguna secara kolaboratif bersama
kementerian dan agensi berkaitan.
Sebelum ini, beliau pernah mengetuai beberapa fungsi utama di BNM,
termasuk kewangan, pengurusan mata wang, komunikasi strategik dan Perkhidmatan
Sokongan Berpusat. Beliau berpengalaman luas dalam bidang penyeliaan perbankan
dan pernah bertugas sebagai setiausaha kepada Lembaga Pengarah semasa kerjaya
beliau di BNM
Pemegang Ijazah Sarjana Muda
Ekonomi dari Monash University, Australia, beliau turut pernah memegang jawatan
sebagai Ahli Lembaga Pengarah di Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Agensi
Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Seramai lapan lagi Ahli Lembaga
Pengarah SKP, serta tiga ahli silih ganti, turut dilantik. Pelantikan ini
merangkumi wakil daripada Kementerian Kewangan (MOF), BNM,
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC),
serta individu profesional berpengalaman daripada industri. Senarai pelantikan
adalah seperti berikut:
|
No |
Nama |
Jawatan |
|
1 |
Puan Salmah Bee Mohd Mydin |
Timbalan Pengerusi Eksekutif |
|
2 |
Puan Nahidah Usman |
Ahli Bebas Bukan
Eksekutif (Wakil MOF) |
|
3 |
Encik Mohamad Azizal Abd Aziz |
Ahli Silih Ganti Bebas Bukan
Eksekutif (Wakil MOF) |
|
4 |
Dr. Norhana Endut |
Ahli Bebas Bukan
Eksekutif (Wakil BNM) |
|
5 |
Encik Endran Fadzil |
Ahli Silih Ganti Bebas Bukan
Eksekutif (Wakil BNM) |
|
6 |
Puan Yew Yee Tee |
Ahli Bebas Bukan
Eksekutif (Wakil SC) |
|
7 |
Datin Azryta Abdul Aziz |
Ahli Silih Ganti Bebas Bukan Eksekutif (Wakil SC) |
|
8 |
Dato’ Mohd Muazzam Mohamed |
Ahli Bebas Bukan Eksekutif
(Luar) |
|
9 |
Dato’ Mohamed Ridza Mohamed Abdulla |
Ahli Bebas Bukan Eksekutif
(Luar) |
|
10 |
Encik Leong Kah Chern |
Ahli Bebas Bukan Eksekutif
(Luar) |
|
11 |
Encik Murali Desan SP Krishnamurthy |
Ahli Bebas Bukan Eksekutif
(Luar) |
Encik Abu Hassan berkata, “Penggubalan
Akta Kredit Pengguna 2025 merupakan langkah penting dalam agenda reformasi
Kerajaan untuk memperkukuh perlindungan pengguna dalam sektor kewangan. Bagi
pertama kalinya, Malaysia memiliki undang-undang komprehensif yang memberi
fokus khusus kepada pengawalseliaan kredit pengguna di luar sektor perbankan,
sekali gus memperkukuh dan memperbaiki landskap industri kredit pengguna
negara.”
“Dengan pelantikan barisan kepimpinan pertama ini, yang menggabungkan
kepakaran, pengalaman, dan profesionalisme pelbagai pihak, SKP kini bersedia
melaksanakan mandat di bawah Akta Kredit Pengguna 2025. Kepelbagaian ini
mencipta sinergi yang membolehkan SKP bertindak secara bersepadu, memastikan
amalan pemberian kredit dijalankan dengan telus, adil dan bertanggungjawab,
seterusnya melindungi kepentingan rakyat. ”
Dengan kepimpinan yang dilantik
ini, SKP komited untuk memainkan peranannya dalam memastikan ekosistem kredit
pengguna negara berkembang secara lebih sihat, tersusun dan mampan, di samping
memperkukuh keyakinan pengguna terhadap industri kredit di Malaysia.
Suruhanjaya Kredit Pengguna
9 Mac 2026
Mengenai Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP)
Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) ditubuhkan di bawah Akta Kredit Pengguna 2025 yang telah berkuat kuasa pada 1 Mac 2026. SKP bertanggungjawab menyelia dan mengawal selia penyedia kredit pengguna di Malaysia bagi memastikan amalan pemberian kredit yang telus, adil dan bertanggungjawab, serta melindungi kepentingan pengguna.