Hire-Purchase (Amendment) Act 2026 to Take Effect on 1 June 2026

The following media statement is issued in Bahasa Malaysia. Please refer to the text below.

Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026 disambut pada 15 Mac setiap tahun. Pada tahun ini, “Suara Kita, Kuasa Kita” telah diangkat sebagai tema yang sekali gus menjadi teras kepada agenda gerakan kepenggunaan sepanjang tahun 2026. Tema ini dipilih untuk menyemarakkan kesedaran dan partisipasi awam dalam melindungi dan melaksanakan lapan hak-hak universal mereka sebagai pengguna. Tarikh 15 Mac juga merupakan sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia (World Consumer Rights Day) yang disambut di peringkat antarabangsa.

Bertempat di Suria Sabah Mall, Kota Kinabalu, Sabah, Majlis Perasmian Sambutan HPK 2026 telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan turut dihadiri YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah. Antara pengisian utama sambutan HPK 2026 adalah reruai informasi, sesi advokasi kepenggunaan, Program Jualan Rahmah Madani (PJRM). Antara rakan- rakan strategik yang terlibat dalam sambutan HPK 2026 kali ini adalah Shopee, TikTok, PGMall dan Pasaraya Bataras.

Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026

Antara fokus gerakan agenda kepenggunaan pada tahun 2026 adalah reformasi undang-undang yang terkait dengan hak dan kepentingan pengguna yang meliputi aspek pelaksanaan, pindaan dan penggubalan kerangka perundangan berkaitan. Antara ikhtiar yang telah dilaksanakan bermula tahun lalu adalah memperkukuh kerangka perundangan berhubung ekosistem kredit pengguna. Ini termasuk penggubalan Akta Kredit Pengguna 2025 (Akta 873) yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 21 Julai 2025 dan Dewan Negara pada 4 Disember 2025. Akta 873 yang di bawah kawal selia oleh Kementerian Kewangan ini telah berkuat kuasa mulai 1 Mac 2026. Manakala, keperluan pelesenan dan pendaftaran akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026, dengan tempoh enam bulan diberikan kepada industri untuk permohonan ini.

Di peringkat KPDN, ikhtiar dalam memperkukuh perlindungan pengguna secara menyeluruh adalah melalui pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967 menerusi pindaan yang telah dilaksanakan pada 2026. Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 bertujuan menterjemahkan prinsip keadilan kredit pengguna dan pemodenan dalam konteks perjanjian sewa beli melalui beberapa perubahan utama seperti berikut:

  1. Pertama, pindaan ini memansuhkan penggunaan Kadar Faedah Tetap Sama Rata (flat rate) dan kaedah Peraturan 78 (rule of 78). Di bawah kaedah tersebut, sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal tempoh pinjaman digunakan untuk membayar faedah, manakala hanya sebahagian kecil diperuntukkan kepada bayaran prinsipal. Keadaan ini menyebabkan peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal terpaksa menanggung baki pinjaman yang tinggi dan tidak mencerminkan kos sebenar pinjaman.

    Peruntukan baharu melalui pindaan yang telah dibuat memperkenalkan Kaedah Pengurangan Baki (reducing balance method) dan Kadar Faedah Efektif (effective interest rate) bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap. Melalui kaedah ini, faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa, sekali gus menjadikan penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan adil kepada pengguna.

  2. Kedua, pindaan ini menyokong transformasi digital dengan membenarkan penggunaan teknologi dalam perjanjian sewa beli. Ini termasuk kebenaran untuk menggunakan tandatangan serta penyerahan dokumen secara digital dan elektronik, bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses perjanjian. Di samping itu, pindaan ini turut memperkenalkan keperluan pelaksanaan usaha wajar (due diligence) untuk pengesahan identiti peminjam sebagai langkah mengurangkan risiko penipuan.

Ketika rang undang-undang ini dibentangkan di Parlimen, sasaran awal tempoh peralihan (grace period) Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 adalah selama 18 bulan selepas tarikh diwartakan. Namun, pelbagai pihak termasuk sebahagian ahli-ahli Parlimen yang mengutarakan agar pindaan tersebut dikuat kuasa sesegera mungkin. Selepas rundingan susulan dibuat, Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 akan dikuat kuasakan lebih awal iaitu pada 1 Jun 2026, iaitu empat bulan selepas diwartakan pada 30 Januari 2026.

Walau bagaimanapun, tempoh peralihan boleh diberikan kepada penyedia sewa beli yang memerlukan masa untuk menyesuaikan sistem, dokumentasi dan proses selaras dengan keperluan baharu. Manakala, penyedia yang telah bersedia boleh mula menawarkan perjanjian sewa beli mengikut pindaan baharu sebaik sahaja tarikh kuat kuasa bermula pada 1 Jun 2026.

Selain itu, seperti yang diumumkan oleh Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM), Persatuan Institusi-Institusi Perbankan Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan (ADFIM) pada bulan Disember 2025, institusi perbankan akan juga menawarkan diskaun ihsan atau goodwill discount bermula pada tarikh kuat kuasa Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026, iaitu 1 Jun 2026. Diskaun ini akan diberikan kepada pelanggan di bawah kaedah lama, iaitu kadar faedah sama rata dan peraturan 78, yang memilih untuk membuat penyelesaian awal, bagi memastikan baki tertunggak mereka setara dengan pelanggan yang memasuki perjanjian baharu, iaitu berasaskan Kadar Faedah Efektif dan Kaedah Pengurangan Baki, di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026.

Reformasi undang-undang ini menunjukkan komitmen Kerajaan untuk mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus dan berintegriti, meningkatkan tadbir urus industri, serta melindungi hak dan kepentingan rakyat sebagai pengguna di seluruh negara.

 

 

YB DATUK ARMIZAN MOHD ALI
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup

 Kota Kinabalu, Sabah 15 Mac 2026